Selasa, 08 November 2011

7 Perkara Tipudaya Syaitan



Tipu daya syaitan terhadap manusia supaya meninggalkan ibadat kepada Allah ada tujuh perkara menurut Imam Ghazali iaitu:

1. Syaitan melarang manusia taat kepada Allah.

Sedangkan orang-orang yang dipelihara Allah akan menolak ajakannya dan mengatakan:
‘Aku mengharapkan pahala dari Allah.
Untuk itu, aku harus mempunyai bekalan di dunia ini demi akhirat yang kekal.’

2. Syaitan sentiasa memujuk manusia agar tidak mentaati Allah.
Dia menghasut manusia dengan mengatakan :
‘Nanti sahajalah, kalau sudah tua nanti barulah, masa masih panjang dan kita masih muda atau sebagainya lagi.’ ;

Orang-orang yang terpelihara akan menolaknya dengan mengatakan: ‘Kematianku bukan berada di tanganmu.
Jika aku menundakan amalanku hari ini untuk esok, sehingga amal hari esok perlu aku kerjakan.
Sedangkan setiap hari aku mempunyai amal berlainan.’

3. Syaitan sentiasa mendorong manusia untuk bersegera dalam melakukan amalan kebaikan.

Kata syaitan:
‘Cepat beramal agar engkau dapat mengejar dan mengerjakan amalan-amalan lain.’ ;
Orang-orang yang selamat akan menolaknya dengan mengatakan: ‘Amal yang sedikit tetapi sempurna lebih baik daripada amalan yang banyak tetapi tidak sempurna.’

4. Syaitan akan menyuruh manusia untuk menjalankan amalan yang baik secara sempurna agar tidak dicela oleh orang lain.

Mereka yang dipelihara oleh Allah akan mengatakan: ‘Bagi saya, penilaian cukup hanya dari Allah swt dan tidak ada manfaatnya beramal kerana manusia (orang lain).’

5. Syaitan membisikkan pujian kepada orang yang beramal:
‘Betapa tinggi darjatmu kerana dapat beramal soleh dan betapa cerdik dan sempurnanya dirimu.’ ;

Mendengar pujian ini, orang yang baik akan mengatakan bahawa:
‘Semua keagungan dan kesempurnaan itu hanyalah kepunyaan Allah dan bukan kekuatan atau kekuasaanku.
Allah yang melimpahkan taufik kepadaku untuk dapat beramal sehingga Dia meredhai dan memberikan pahala yang besar.
Sekiranya tanpa kurniaanNya, apalah erti amalanku ini, jika dibandingkan dengan nikmat Allah yang telah diberikan kepadaku, disamping dosaku yang bertimbun pula.’

6. Dengan gagalnya jalan kelima, syaitan akan menerapkan cara yang keenam.
Cara ini lebih berat jika dibandingkan dengan cara-cara yang terdahulu dan manusia tidak akan menyedarinya kecuali orang-orang yang cerdik dan berfikir.

Syaitan berbisik dalam hati manusia:
‘Bersungguh-sungguhlah engkau beramal dengan sir (kejahatan), jangan sampai diketahui oleh orang lain .’ ;
Begitulah syaitan mencampur-baurkan amalan seseorang dengan penipuannya yang sangat tersembunyi.
Dengan ucapannya itu syaitan bermaksud untuk memasukkan sedikit perasaan riak.

Orang-orang yang dipelihara Allah akan menolak ajakannya dengan mengatakan:

‘Hai malaun (yang dilaknat),
engkau tidak henti-henti menggodaku dan merosakkan amalanku dengan pelbagai cara. Dan kini, kau berpura-pura seolah-olah akan memperbaiki amalanku, padahal engkau bermaksud merosakkannya.
Aku adalah hamba Allah dan Allah yang menjadikanku.
Jika berkehendak, Allah akan menjadikan aku mulia atau hina.
Semuanya itu adalah urusan Allah.
Aku tidak khuatir, amalanku diperlihatkan atau tidak kepada orang lain, sebab itu bukan urusan manusia.’

7. Gagal dengan cara itu, syaitan akan meneruskan godaannya dengan cara lain lagi. Dia mengatakan:
‘Hai manusia, janganlah engkau menyusahkan diri sendiri dengan beramal ibadat kerana jika Allah telah menetapkan kamu sebagai orang yang berbahagia pada hari azali kelak, maka meninggalkan ibadat pun tidak akan memberikan sebarang mudharat.
Engkau tetap menjadi orang yang berbahagia dan sebaliknya jika Allah menetapkan kamu sebagai seorang yang celaka, maka tidak ada gunanya engkau beribadat kerana engkau tetap akan celaka.’ ;

Orang-orang yang dipelihara oleh Allah sudah pasti akan menolak godaan itu dengan mengatakan:
‘Aku hanyalah hamba Allah.
Wajib bagiku menuruti perintahNya.
Allah Maha Mengetahui, menetapkan sesuatu dan berbuat apa sahaja sesuai dengan kehendakNya.
Walau bagaimanapun keadaanku, amalanku tetap bermanfaat.

Jika aku ditetapkan sebagai orang yang berbahagia, aku akan tetap beribadat untuk memperbanyakkan pahala.

Sebaliknya, jika aku ditetapkan sebagai orang yang celaka, aku akan tetap meneruskan perbuatan ibadat agar tidak menjadi sebuah penyesalan bagiku.
Sekiranya aku masuk neraka, padahal aku taat, itu adalah lebih aku sukai daripada aku masuk neraka kerana melakukan maksiat.

Tetapi tidak akan demikian akibatnya kerana janji Allah pasti terbukti dan firmanNya pasti benar ;
Allah telah menjanjikan pahala kepada sesiapa sahaja yang taat kepadaNya.

Barangsiapa mati dalam keadaan beriman dan taat kepada Allah, dia tidak akan dimasukkan ke dalam neraka, melainkan syurgalah tempatnya.
Jadi, masuknya seseorang ke dalam syurga bukan kerana kekuatan amalan yang telah didirikan, tetapi kerana janji Allah yang suci murni dan pasti!

Kelak, orang-orang yang berbahagia dan beruntung akan mengatakan;
Segala puji bagi Allah yang membuktikan janjiNya dengan syurga,
Semoga Allah melimpahkan rahmatNya kepada kita.’

Sesungguhnya dalam mentaati Allah, terlalu banyak godaan dan tipu daya syaitan yang perlu kita lalui.
Bandingkan segala permasalahan dan perbuatan kepada keadaan tersebut dan pohonlah perlindungan Allah swt agar terlindung dan terpelihara dari kejahatan syaitan.
Sesungguhnya segala sesuatu itu berada di bawah kekuasaan Allah
dan kepadaNyalah kita mengharapkan taufiq dan keredhaan.
Tiada daya untuk meninggalkan maksiat dan tidak ada kekuatan untuk mengerjakan ketaatan kecuali dengan pertolongan Allah yang Maha Luhur dan Maha Agung.

Source: iLuvislam.com

Tidak ada komentar:

Posting Komentar